Proton capai pegangan pasaran sebanyak 18.1% bagi bulan Jun 2019, tertinggi dalam tempoh 47 bulan

Melalui laporan terkini dalam siaran akhbar yang diterbitkan kelmarin, Proton mengumumkan bahawa syarikat automotif nasional tersebut terus mencatatkan peningkatan jualan bagi bulan Jun 2019, seterusnya meneruskan momentum cemerlang yang sebelum itu berjaya di capai dalam bulan sebelumnya.

Bagi bulan Jun 2019, Proton berjaya menjual sebanyak 7,615 unit kenderaan yang mana ianya merupakan angka kedua tertinggi yang dicatatkan oleh syarikat tersebut pada tahun ini, dalam statistik jualan bagi tempoh tiga bulan berturut-turut. Menurut Proton, ini menjadikan penguasaan pasarannya kepada 18.1% daripada pasaran automotif Malaysia dalam tempoh sebulan apabila Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan merosot sebanyak 30.8% iaitu kepada 42,090 unit.

Tambah Proton lagi, pegangan pasaran sebanyak 18.1% dalam bulan Jun 2019 adalah pencapaian terbaik syarikat tersebut sejak bulan Julai 2015. Secara individu, SUV Proton X70 terus menjadi salah satu produk keluaran Proton paling popular. Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, sebanyak 15,175 unit telah diserahkan kepada pelanggan, menjadikannya pendahulu jualan kumulatif untuk keseluruhan segmen SUV di samping telah turut mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris di pasaran tempatan.

Model-model Proton yang lain turut mencatatkan angka jualan yang baik. Jualan Proton Saga terus berkembang dengan sebanyak 2,541 unit telah diserahkan pada bulan Jun, menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan sebanyak 27% berbanding enam bulan pertama pada tahun 2018. Proton Persona, Iriz dan Exora yang kini dilengkapi dengan ciri-ciri pintar juga menunjukkan prestasi baik dengan peningkatan masing-masing sebanyak 108%, 180% dan 135% berbanding jumlah tempahan model semasa.

“Dengan mencapai pegangan pasaran sebanyak 18.1% pada bulan Jun, Proton terus menunjukkan pertumbuhan jualan yang positif bagi tahun ini meskipun keadaan pasaran yang sukar untuk jualan berikutan cuti Hari Raya. Pegangan pasaran setakat tahun ini pada masa kini berada pada 14.7% dan merupakan peningkatan yang besar pada angka 2018 iaitu sebanyak 10.8%. Bagi separuh kedua tahun ini, kami akan menumpukan kepada peningkatan jualan dan memberikan lebih keterujaan kepada pasaran dengan memperkenalkan model-model baharu dan yang ditambahbaik seperti dijanjikan pada awal tahun ini,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Pertumbuhan jualan Proton dipengaruhi melalui dua perkara. Yang pertama adalah penambahbaikan pada produknya dan kedua, yang turut sama penting adalah peningkatan bilangan rangkaian cawangan 3S/4S syarikat. Sehingga akhir bulan Jun, Proton mempunyai sebanyak 91 cawangan yang telah ditambahbaik, paling banyak
antara kebanyakan jenama automotif di Malaysia.

“Strategi kami untuk meningkatkan kehadiran syarikat dengan meningkatkan jumlah cawangan 3S/4S di dalam rangkaian kami adalah untuk memastikan syarikat dapat memberi pengalaman jenama yang premium kepada semua pelanggan. Pasukan pembangunan rangkaian kami sedang berusaha keras untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kami dan diharapkan penambahbaikan ini memberi kesan positif kepada skor SSI dan CSI Syarikat,” tambah Dr Li Chunrong.

Tahniah diucapkan kepada Proton kerana berjaya kembali berada di landasan yang betul dengan menawarkan model-model kenderaan yang bukan sahaja mampu milik, malah dilengkapi dengan ciri-ciri pintar dan premium. Diharapkan Proton akan meneruskan lagi momentum cemerlangnya dalam mencapai sasaran untuk kembali menjadi syarikat automotif nasional nombor satu dalam angka jualan.

(Visited 20 times, 1 visits today)