Prototaip kereta terbang buatan Malaysia dijangka akan diperkenalkan dalam bulan Oktober 2019

Riuh rendah sebelum ini apabila pihak Kementerian Pembangunan Usahawan daripada kerajaan Pakatan Harapan mengatakan bahawa Malaysia akan mengeluarkan kereta terbang. Pelbagai pandangan diberikan sama ada negatif atau positif, malah ramai yang tidak percaya bahawa Malaysia mampu untuk mengeluarkan kereta terbang sendiri.

Berdasarkan beberapa pandangan dan hasil analisis awal, kereta terbang yang dimaksudkan itu sebenarnya bukanlah kereta yang mempunyai kemampuan untuk terbang, sebaliknya adalah kenderaan terbang yang reka bentuknya sudah tentu sangat berbeza berbanding reka bentuk sebenar sesebuah model kereta. Mungkin juga kereta terbang itu akan mempunyai kipas seperti dron, atau tampil dengan reka bentuk seperti kapal terbang kecil yang boleh memuatkan seorang atau dua orang penumpang.

Menurut laporan terkini dari dalam Dewan Rakyat seperti mana yang dilaporkan oleh laman sesawang Malaysiakini kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, berkata prototaip kereta atau kenderaan terbang itu dijangka akan dapat diperkenalkan paling awal dalam bulan Oktober 2019 akan datang.

Menurut beliau lagi, prototaip kereta terbang itu dibangunkan oleh syarikat swasta tanpa menggunakan dana daripada pihak kerajaan. Pihak kerajaan dikatakan hanya memberikan sokongan dan rangsangan kepada syarikat swasta tempatan yang terlibat agar Malaysia tidak ketinggalan dalam mengejar kecanggihan teknologi masa depan.

Pada pendapat anda, bagaimanakah agaknya reka bentuk prototaip kereta terbang yang sedang dibangunkan itu? Kalau ianya benar-benar tampil dengan reka bentuk yang menarik di samping teknologinya yang canggih, sudah tentu ianya akan mengharumkan nama Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa. Kita tunggu pelancarannya pada bulan Oktober 2019 nanti untuk mengetahui jawapannya.

(Visited 18 times, 1 visits today)