Ciri-ciri yang melengkapi SUV Perodua Aruz

Perodua Aruz bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, oleh itu tempahan untuk model SUV baharu berkenaan telah dibuka. Untuk anda yang mungkin tertanya-tanya apakah yang akan ditawarkan oleh model tersebut, di bawah berikut ialah sedikit sebanyak maklumat serta senarai ciri-ciri yang melengkapinya :

  • Merupakan sebuah model SUV yang dibangunkan semula daripada model Toyota Rush serba baharu yang dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Oktober 2018 yang lepas.
  • Ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance, masing-masing dikuasakan enjin bersesaran 1.5 liter. Enjin tersebut bertaraf EEV dengan sistem Eco Idle, membolehkannya mencapai penjimatan petrol sehingga 15.6 km/l. Transmisi yang digandingkan dengan enjin tersebut ialah automatik 4 E-AT.
  • Menurut Perodua, Aruz mempunyai ruang dalaman yang luas dan selesa, serta direka untuk memuatkan sehingga 7 tempat duduk penumpang. Susun atur tempat duduk juga adalah fleksibel dan dikatakan bakal memberikan kemudahan yang menyenangkan.
  • Dari segi keselamatan, Aruz hadir dengan sistem keselamatan canggih yang diberi nama Advanced Safety Assist (A.S.A) 2.0, namun sistem tersebut hanya untuk varian 1.5 Advance. Aruz juga dibekalkan dengan 6 beg udara untuk ciri keselamatan yang lebih menyeluruh.
  • Ianya juga dilengkapi sistem lampu LED dengan ciri Follow-me-home yang sudah tentu memberikan lebih kemudahan pada waktu malam. Rim roda yang melengkapinya pula berukuran 17 inci, pastinya lebih bergaya dan sporty. Juga terdapat rail bumbung yang direka sporty.
  • Perodua Aruz juga menawarkan tempat duduk semi buckets (kemasan kulit untuk varian 1.5 Advance), corong penyaman udara belakang dan roda stereng boleh laras dengan ciri kawalan audio.
  • Untuk lebih kemudahan, Perodua Aruz turut dilengkapi sistem Smart Entry with Push Start/Stop Button, pembaca kad tol terbina dalam, perakam video sewaktu pemanduan, port pengecas bagi setiap barisan tempat duduk, dan tidak dilupakan kamera undur.
  • Lima warna yang menarik tersedia untuk pilihan seperti Amazon Green Metallic (warna baharu), Granite Grey Metallic, Electric Blue Metallic, Glittering Silver Metallic dan Ivory White Solid.
  • Lebih menarik, Perodua Aruz telah menerima pengiktirafan keselamatan 5-Bintang daripada ASEAN NCAP.
  • Jaminan yang ditawarkan mencapai tempoh 5 tahun atau perbatuan sehingga 150,000km, yang mana tiba dahulu.
  • Dari segi penampilan kosmetik dan reka bentuk luaran dan dalaman, mungkin anda perlu menilainya sendiri apabila ianya dilancarkan nanti. Penilaian dari segi kecantikan sesebuah kereta adalah subjektif, namun dijangkakan ramai yang akan jatuh hati dengan Aruz.
  • Percaya atau tidak, Perodua Aruz yang dilengkapi dengan enjin 1.5 liter ini akan turut menerima insentif subsidi petrol, seperti mana yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2019.
  • Harga anggaran yang diumumkan baru-baru ini untuk Perodua Aruz ialah sebanyak RM72,200.00 bagi varian 1.5 X, dan RM77,200.00 bagi varian 1.5 Advance. Harga atas jalan (OTR) tersebut ialah tanpa insuran dan untuk pasaran Semenanjung Malaysia.
  • Juga terdapat pilihan aksesori GearUp pada harga yang menarik, pada masa ini ditawarkan untuk kemudahan utiliti terlebih dahulu melibatkan Door Visors, Luggage Tray dan Coil Mats.

Perodua Aruz dijangka akan menerima sambutan baik daripada rakyat Malaysia, terutamanya bagi peminat SUV yang mencari sebuah kenderaan yang luas dan selesa, dengan ciri-ciri terbaik dan moden, serta boleh membawa ramai penumpang. Pada masa yang sama, penetapan harganya di bawah RM80k sedikit sebanyak akan menjadi faktor penentu utama.

(Visited 67 times, 1 visits today)