Terdesak lulus ujian memandu, anggota JPJ hampir ditikam

Menurut laporan daripada akhbar Harian Metro hari ini, seorang penuntut kolej berusia 18 tahun hampir menikam seorang anggota JPJ dengan sebilah pisau. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Mantin, Nilai, Negeri Sembilan, sewaktu penuntut tersebut sedang menjalani ujian memandu bersama-sama seorang anggota JPJ yang berusia 34 tahun.

Penuntut kolej yang berasal dari Kuala Lumpur itu dikatakan tertekan kerana gagal ujian memandu buat kali yang keempat, dan terdesak untuk lulus dengan segera. Dilaporkan sewaktu menjalani ujian memandu buat kali keempat itu, beliau telah beberapa kali melakukan kesalahan jalan raya termasuk tidak berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah.

Walaupun diugut akan ditikam menggunakan sebilah pisau yang dibawa oleh penuntut tersebut, anggota JPJ berkenaan berjaya keluar dari kereta sebelum menghubungi penyelia calon dan polis bagi mendapatkan bantuan. Suspek kemudiannya telah dibawa ke balai polis Mantin oleh pihak polis dan akan didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan bunuh.

Sumber : Harian Metro & Info Roadblock JPJ/Polis FB

(Visited 56 times, 1 visits today)