Hyundai perkenal teknologi cap jari pintar pertama di dunia untuk kenderaan

Pada 27 Disember 2018 yang lalu, Hyundai memperkenalkan teknologi cap jari pintar pertama di dunia yang membolehkan pemandu bukan saja membuka pintu, malah menghidupkan enjin kenderaan. Buat permulaan, Hyundai merancang untuk menggunakan teknologi tersebut pada model SUV Santa Fe yang akan dibawa masuk ke beberapa pasaran terpilih dalam suku pertama 2019.

Untuk membuka kunci kenderaan, pemandu perlu meletakkan jari di atas sensor yang terletak di pemegang pintu (door handle). Pemandu juga dengan mudah boleh menghidupkan kenderaan dengan menyentuh butang penghidup yang turut dilengkapi dengan sensor pengimbas cap jari. Menurut Hyundai lagi, teknologi tersebut turut membolehkan persekitaran pemanduan diubahsuai dan dipadankan dengan data cap jari pemandu, seperti menala tempat duduk secara automatik dan mengubah kedudukan cermin pandang belakang sisi mengikut kesesuaian pemandu.

Pada masa depan, Hyundai merancang untuk meluaskan penggunaan aplikasi teknologi tersebut bagi membolehkannya mengawal suhu, posisi roda stereng, dan banyak lagi ciri-ciri lain yang akan disesuaikan bagi memenuhi kehendak pemandu. Ianya seterusnya akan menawarkan kualiti pengalaman pemanduan terkini kepada setiap pelanggan Hyundai. Isu keselamatan juga mendapat perhatian Hyundai. Berdasarkan data sedia ada, teknologi cap jari didapati lima kali lebih selamat berbanding sistem kunci konvensional, termasuklah sistem kunci pintar (smart keys).

(Visited 38 times, 1 visits today)