Model baharu Kawasaki Ninja ZX-25R dengan enjin 4-silinder rasmi diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2019

Setelah lama dinanti-nantikan, malah ada yang tidak percaya akan kemungkinan kehadirannya, akhirnya Kawasaki Ninja ZX-25R serba baharu rasmi diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2019 (24hb. Oktober – 04hb. November 2019). Dengan enjin 250cc 4-silinder, ramai yang teruja dan gembira apabila model ini benar-benar wujud.

Kawasaki Ninja ZX-25R ini dijangka akan dijual pasaran Indonesia terlebih dahulu mulai tahun depan, bagaimanapun tarikh pelancaran rasminya masih belum diumumkan, begitu juga dengan harga yang bakal ditawarkan. Sudah tentu harganya dijangkakan lebih tinggi berbanding model semasa Kawasaki Ninja 250 dengan enjin 2-silinder.

Antara pasaran lain yang dijangka akan menerima kehadiran Ninja ZX-25R serba baharu ini sudah tentulah pasaran Jepun, diikuti oleh negara-negara di pasaran ASEAN seperti Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura, dan besar kemungkinan di pasaran Malaysia. Bagaimanapun jangan terlalu berharap kerana harganya yang tinggi, mungkin akan membuatkan Kawasaki Malaysia berfikir banyak kali sebelum melancarkannya.

Setakat ini, Kawasaki masih belum mendedahkan kuasa dan tork yang dihasilkan oleh Ninja ZX-25R ini, malah deruan bunyi enjinnya yang bergema juga masih belum dapat dinikmati oleh halwa telinga peminat dunia motosikal yang ketika ini sabar menanti. Yang pasti, bunyinya sangat berbeza jika dibandingkan dengan enjin 2-silinder.

Jadi kepada anda semua, masih berminat untuk memiliki Honda CBR250RR dengan enjin 2-silinder? Bagaimanapun itu bukan persoalannya kerana Honda CBR250RR tidak dibawa masuk ke pasaran Malaysia kerana harganya yang tinggi. Adakah ini bermakna peminat motosikal di Malaysia juga akan berputih mata seandainya berangan-angan untuk memiliki Ninja ZX-25R yang tidak murah ini? Wallahu a’lam.

(Visited 28 times, 1 visits today)