Perodua Axia Style ditawarkan di pasaran Sri Lanka, harga RM98k sahaja

Perodua baru-baru ini mengumumkan bahawa model kompak terbaharu Perodua Axia Style bakal ditawarkan di pasaran Sri Lanka, dengan jadual penghantarannya bermula pada awal tahun hadapan. Model tersebut akan dijual pada harga sebanyak Rs 3.895 juta, bersamaan RM89,000 berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa.

Pada tarikh 08hb. November yang lepas, Perodua Axia Style telah membuat kemunculan pertamanya di di Sri Lanka menerusi Pameran Motor Colombo Seylan yang berlangsung di Bandaranaike Memorial International Conference Hall dari 8hb – 10hb. November 2019. Menurut Perodua, model Axia telah ditawarkan di pasaran Sri Lanka sejak tahun 2015, dengan jualannya kini mencapai angka 3,000 unit.

Axia Style merupakan salah satu varian yang ditawarkan oleh Perodua melalui model Axia, yang mana ianya menawarkan penampilan sebuah crossover yang aktif dan bergaya dalam satu pakej yang kompak, ruang yang luas dan cekap bahan api. Ianya dilengkapi ciri-ciri seperti bampar yang tampil lebih lasak dengan elemen skid plate, cladding badan, moulding bumbung, spoiler belakang dan rim aloi lima jejari 15-inci.

Menurut Perodua lagi, lebih 2,000 unit Perodua Axia Style telah menemui pemiliknya di pasaran Malaysia sejak pelancarannya pada bulan September yang lalu, manakala Perodua Axia 2019 secara keseluruhannya telah mencapai jualan lebih 10,400 unit daripada lebih 20,000 tempahan yang diterima setakat ini.

Untuk pasaran Sri Lanka, syarikat tempatan yang mengedarkan kenderaan keluaran Perodua ialah Unimo Enterprises, dengan jualan keseluruhan yang berjaya dilakukan oleh syarikat tersebut sejak tahun 1997 kini hampir mencecah 16,000 unit. Barisan model Perodua yang diedarkan oleh mereka ketika ini ialah Bezza dan Axia, dengan Bezza menjadi sedan bawah 1.0 liter baharu paling laris di Sri Lanka.

Unimo Enterprises ketika ini sedang menerima tempahan untuk model Axia Style, dengan jangkaan ianya akan menjadi salah sebuah model terbaharu Perodua yang akan disukai oleh rakyat Sri Lanka. Perodua mensasarkan eksport sebanyak 3,270 kenderaan untuk 2019 – peningkatan 50% daripada 2,184 unit tahun lepas. Lebih 80,000 kenderaan Perodua telah dijual di luar Malaysia setakat ini.

(Visited 21 times, 1 visits today)