Toyota Raize dilancarkan di pasaran Jepun

Bukanlah suatu kebiasaan untuk kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengambil tahu mengenai semua model keluaran Toyota yang dilancarkan di pasaran domestik Jepun (JDM). Namun begitu pelancaran Toyota Raize baru-baru ini telah menggemparkan kita semua, kerana model tersebut mempunyai hubungan dengan model Daihatsu Rocky.

Daihatsu Rocky, atau model konsepnya telah pun dipersembahkan secara langsung di Tokyo Motor Show 2019 yang berlangsung baru-baru ini. Sebelum Daihatsu Rocky dilancarkan di pasaran Jepun, Toyota Raize terlebih dahulu mengambil tempat. Dan semestinya Toyota Raize ialah model rebadged daripada model Daihatsu Rocky.

Jadi apa istimewanya Toyota Raize ini, begitu juga dengan Daihatsu Rocky? Untuk makluman anda yang mungkin belum tahu, Perodua dikatakan bakal melancarkan sebuah model SUV kompak terbaharu, yang mana buat masa ini ianya hanya dikenali dengan kod nama Perodua D55L. Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, Perodua D55L akan dibangunkan berasaskan model Daihatsu Rocky sepenuhnya.

Jadi menarik atau tidak jika benar Daihatsu Rocky akan menjadi salah sebuah model terbaharu Perodua yang bakal ditawarkan di pasaran tempatan, sebagai ganti kepada model SUV Kembara, dan juga sebagai pesaing hebat kepada model Proton X50 yang akan dilancarkan tidak lama lagi? Rasanya semua bersetuju dengan kenyataan ini.

Toyota Raize dikuasakan enjin tiga silinder 1.0 liter turbo (1KR-VET), dengan kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 98PS @ 6,000rpm dan tork 140Nm @ 2,400 – 4,000rpm, yang kemudiannya digandingkan dengan sistem transmisi CVT (D-CVT). Sistem pacuan yang ditawarkan ialah pacuan roda depan 2WD dan juga 4WD.

Harga yang ditawarkan untuk Toyota Raize di pasaran Jepun bermula dari RM64,000 sehingga RM87,000. Dari segi saiz dan ukuran keseluruhan, Toyota Raize ini hanyalah sebuah SUV bersaiz kompak sahaja dengan ukuran panjang sekitar 4 meter, namun ianya tetap menawarkan ruang simpanan barang-barang yang luas dan praktikal.

Melihat kepada gambar-gambar Toyota Raize dalam galeri di bawah, ternyata model SUV kompak ini menawarkan reka bentuk yang menarik dan sporty. Dijangkakan Perodua D55L yang berasaskan daripada model Toyota Raize dan Daihatsu Rocky apabila dilancarkan nanti pasti akan berjaya menarik minat ramai pembeli.

(Visited 25 times, 1 visits today)