Kejayaan Suzuki Swift di pasaran India

Pada suatu ketika dahulu, Suzuki Swift pernah mendapat perhatian ramai di pasaran Malaysia. Namun entah di mana silapnya, Swift tidak mampu membantu mengekalkan Suzuki untuk terus melebarkan sayapnya di pasaran Malaysia. Suzuki mungkin gagal di Malaysia, namun di negara India, kejayaan syarikat pengeluar kereta kompak itu sangat membanggakan.

Untuk pasaran India, Suzuki Swift dikilangkan di negara tersebut mengikut spesifikasi tempatan, dan baru-baru ini model itu telah memenangi anugerah Indian Car of The Year (ICOTY) 2019, yang mana ianya merupakan anugerah automotif paling berprestij di India. Swift buat pertama kalinya diperkenalkan di pasaran India dalam tahun 2005 dan ianya merupakan model tunggal yang memenangi anugerah Indian Car of The Year bagi setiap generasinya. Model pertama Swift menang anugerah ICOTY dalam tahun 2006 dan generasi kedua dalam tahun 2012.

Suzuki Swift generasi ketiga diperkenalkan pada tahun lepas, tampil sebagai sebuah model hatchback premium yang bergaya sporty, mempunyai prestasi pemanduan yang mengujakan dan begitu mesra pengguna. Suzuki Motor Gujarat Private Limited merupakan anak syarikat Suzuki, menjadi pengeluar Swift untuk pasaran India dan dijual oleh Maruti Suzuki India Limited. Sejak pelancaran Swift di pasaran India, lebih daripada dua juta unit telah terjual. Generasi ketiga Swift dilancarkan pada Jun 2018, menjadi model terpantas mencapai jualan 100,000 unit, dalam tempoh hanya 145 hari, membuatkan pengeluaran terpaksa ditingkatkan bagi memenuhi permintaan.

Maruti Suzuki ketika ini menguasai pasaran domestik India sekitar 50 peratus dan mencapai 54 peratus dalam bulan November 2018. 119,000 unit telah terjual dalam bulan Disember dan dalam tempoh antara April dan September 2018, lebih daripada 919,000 unit kereta Suzuki telah dikeluarkan dan dijual di sana.

Suzuki Motor Corporation juga tidak kurang hebatnya apabila baru-baru ini mengumumkan prestasinya di pasaran domestik Jepun juga adalah baik sekali dengan jumlah keseluruhan 663,118 unit terjual antara Januari dan November 2018. 544,895 unit daripadanya merupakan model di dalam kelas Minivehicle atau Kei Car, di mana kereta dalam kelas tersebut perlu mempunyai panjang keseluruhan 3.4 meter atau kurang, lebar 1.48 meter atau kurang dan kapasiti enjin maksimum 660cc. Suzuki ketika ini adalah jenama automotif kedua terbesar di Jepun dengan penguasaan pasaran 14.1 peratus dan jenama kelapan terbesar di dunia.

(Visited 27 times, 1 visits today)