Daihatsu Rocky dilancarkan di pasaran Jepun

Sama seperti model Toyota Raize, begitu juga dengan model Daihatsu Rocky yang kini telah dilancarkan di pasaran Jepun sejak 05hb. November 2019 yang lepas. Model SUV bersaiz kompak ini ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna yang menarik, tipikal untuk sebuah kenderaan aktif dan bergaya seperti ini khusus untuk pasaran JDM.

Daihatsu Rocky dikuasakan enjin bersesaran 1.0 liter tiga silinder yang dibantu oleh sistem pengecas turbo, yang kemudiannya dipadankan sistem transmisi D-CVT. Kuasa enjin yang dihasilkan mencapai 98PS @ 6,000rpm dengan tork puncak 140Nm @ 2,400 – 4,000rpm, sudah memadai untuk SUV yang mempunyai berat hanya 980 kg ini.

Untuk pasaran Jepun, harga yang ditawarkan bermula dari 1,705,000 Yen (RM64k) sehingga 2,422,200 Yen (RM92k), dengan pilihan varian yang tersedia ialah L, X, G dan Premium. Setiap varian boleh didapati sama ada dengan sistem pacuan 2WD atau 4WD. Daihatsu mensasarkan jualan bulanan untuk Rocky sebanyak 2,000 unit.

Untuk pasaran Malaysia, Daihatsu Rocky ini disebut-sebut sebagai sebuah model yang akan dibangunkan semula oleh Perodua, menjadikannya sebagai model pengganti yang ideal untuk SUV Kembara. Dikenali dengan kod nama Perodua D55L, model tersebut ketika ini dikatakan sedang dalam fasa pembangunan dan ujian.

Diharapkan model SUV kompak terbaharu keluaran Perodua itu nanti bakal tampil dengan reka bentuk yang lebih sporty dan bergaya berbanding model Daihatsu Rocky, begitu juga dengan teknologi terkini yang ditawarkan oleh Rocky. Berkenaan harga, ianya memainkan peranan penting untuk memberikan saingan terhadap Proton X50.

(Visited 21 times, 1 visits today)