McLaren Automotive umum rekod jualan global baharu

Jualan global bagi jenama McLaren Automotive, pengeluar kereta sport car dan supercar dari British, naik kepada 4,806 unit dalam tahun 2018 dengan peningkatan jualan sehingga 43.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ini merupakan satu lagi rekod membanggakan untuk syarikat tersebut yang mana ianya terus menunjukkan peningkatan jualan dari tahun ke tahun sejak 2010. 

Pasaran Amerika Utara merupakan pasaran tunggal terbesar McLaren yang merangkumi lebih daripada sepertiga jumlah jualan global, melepasi 5,000 unit jualan kereta sejak ianya bermula dalam tahun 2011 dan mencapai satu lagi rekod pertumbuhan. Jualan di pasaran Eropah naik sebanyak 44.2 peratus, namun angka terbesar dapat dilihat di pasaran China dengan 122.5 peratus pertumbuhan susulan pelancaran model 570S dan 720S. Pasaran China kini menguasai hampir 7 peratus jumlah jumlah global keseluruhan.

Bagi pasaran domestik UK, ianya turut kekal kukuh, dengan pertumbuhan 49.2 peratus dari tahun ke tahun. McLaren Automotive sebelum ini telah meraikan pengeluaran kereta yang ke-15,000 unit di McLaren Production Centre (MPC) yang terletak di Woking, Surrey, di mana kesemua kereta adalah buatan tangan. Pengeluarannya konsisten kepada 20 unit kereta setiap hari dengan eksport ke lebih 30 pasaran.

Cawangan tempahan khas McLaren yang dikenali dengan nama McLaren Special Operations (MSO), yang mana ianya menerima tempahan untuk model yang diubahsuai mengikut permintaan unik pelanggan, juga mempunyai tahun yang sibuk. Semakin ramai pelanggan yang memilih keunikan dan kemewahan tersendiri untuk kereta mereka, menjadikan tempahan untuk MSO meningkat tiga kali ganda dalam setahun.

(Visited 29 times, 1 visits today)