SEAT UK pecah rekod jualan tahun 2018

Jenama pengeluar kenderaan yang berasal dari Sepanyol, SEAT baru-baru ini telah mengumumkan pencapaian rekod jualan terbaik mereka di pasaran UK bagi tahun 2018. SEAT UK telah berjaya merekodkan jualan sehingga 62,863 unit, 12 peratus lebih tinggi berbanding pencapaian tahun 2017 dengan jualan sebanyak 56,130 unit. Angka tersebut menjadikan SEAT sebagai jenama pengeluar kenderaan yang paling pantas berkembang di pasaran UK untuk tempoh dua tahun berturut-turut. 

Di pasaran global, jumlah keseluruhan kenderaan keluaran SEAT yang terjual adalah sebanyak 517,600 unit, 10.5 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2017 dengan angka 468,400 unit. Jumlah tersebut adalah yang terbesar dalam sejarah SEAT selama 68 tahun dan melangkaui rekod jualan yang dicatatkan pada tahun 2000 yang berjumlah 514,800 unit. Sejak tahun 2012, jualan SEAT berkembang melebihi 60 peratus.

Lima pasaran utama SEAT di Eropah yang turut mencatatkan peningkatan jualan berbanding tahun sebelumnya ialah Jerman dengan jumlah sebanyak 114,200 unit (+11.8%), Sepanyol dengan jumlah jualan 107,800 unit (+13.2%), Perancis sebanyak 31,800 unit (+31.3%), Itali mencatatkan rekod jualan 20,000 unit (+10.9%), dan Austria di mana jualan meningkat sehingga 5.3 peratus untuk berada pada paras 18,400 unit. Pasaran lain dengan pertumbuhan positif untuk SEAT termasuklah Switzerland, Israel, Morocco, Portugal, Belgium, Netherlands dan Algeria.

(Visited 32 times, 1 visits today)