Model baharu Honda Winner X dilancarkan di pasaran Vietnam

Untuk pasaran Vietnam, motosikal moped popular Honda Winner 150 secara rasminya diperkenalkan dalam bulan April 2016. Model tersebut turut dilancarkan di beberapa negara ASEAN yang lain termasuk Malaysia, dan ianya dikenali dengan nama Honda RS150R. Di pasaran Malaysia, Honda RS150R bersaing hebat dengan model moped terkenal lain seperti Yamaha Y15ZR dan SYM VF3i yang mempunyai enjin 185cc.

Setelah lebih tiga tahun sejak ianya mula diperkenalkan, Honda Winner 150 di pasaran Vietnam kini telah mengalami evolusi yang lebih signifikan, dan boleh dikatakan ianya telah memberi kejutan kepada pasaran dan juga peminat. Pada tarikh 13hb. Julai 2019 yang lalu, model baharu pengganti Honda Winner 150 itu telah dilancarkan dengan rasminya di pasaran Vietnam, dan ianya diberi nama baru yang lebih menarik iaitu Honda Winner X. Model tersebut hadir dengan reka bentuk baharu yang lebih sporty dan memukau, termasuk pengenalan beberapa teknologi baharu yang lebih moden.

Honda Winner X masih mengekalkan enjin bersesaran 150cc, empat lejang DOHC, satu silinder, PGM-FI, sejukan cecair dan juga transmisi 6-kelajuan. Enjin tersebut menghamburkan kuasa maksimum 11.5kW @ 9,000rpm dengan tork puncak 13.5Nm @ 6,500rpm. Ciri-ciri lain yang melengkapi model baharu tersebut termasuklah kluster lampu LED di bahagian depan, lampu belok terpisah di bahagian belakang, paparan meter LCD yang moden, rekaan ekzos baharu yang lebih sporty dengan bunyi yang lebih berkualiti, dan tidak dilupakan ianya kini didatangkan dengan sistem brek ABS di bahagian roda depan untuk ciri keselamatan yang lebih baik.

Untuk pasaran Vietnam, Honda Winner X ditawarkan dalam pilihan tiga varian, di mana dua varian daripadanya dilengkapi sistem brek ABS. Harga yang ditawarkan bermula dari 45,990,000 VND untuk varian asas tanpa ABS, bersamaan RM 8,251.74 mengikut kadar tukaran mata wang semasa. Untuk dua varian lain yang dilengkapi sistem brek ABS, masing-masing ditawarkan pada harga sebanyak 48,990,000 VND (RM 8,790.02) dan 49,490,000 VND (RM 8,879.73). Dari segi penampilan luaran, terdapat 10 pilihan warna yang ditawarkan dengan rekaan grafik yang cukup sporty dan bergaya.

Selain itu, turut dikhabarkan Honda Winner X di pasaran Vietnam akan turut menerima edisi Repsol yang pastinya tampil dengan warna dan corak grafik yang lebih menarik, namun buat masa ini masih belum ada maklumat rasmi di dalam laman sesawang Honda Vietnam. Honda Winner X dijangka akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia, namun setakat ini belum dapat dipastikan bilakah ianya akan dilancarkan secara rasmi bagi menggantikan model Honda RS150R. Sudah tentu ramai peminat motosikal Honda yang sudah tidak sabar-sabar menantikan ketibaannya di pasaran tempatan.

p/s : Pada pendapat anda, adakah reka bentuk radikal Honda Winner X ini menepati citarasa anda? Pada pandangan anda juga, mampukah model ini mengalahkan populariti Yamaha Y15ZR V2 versi facelift terbaharu yang dilancarkan pada bulan Mac 2019 yang lepas? Menarik untuk kita tunggu ketibaannya di pasaran Malaysia.

(Visited 51 times, 1 visits today)