Jentera perlumbaan elektrik Volkswagen ID.R bakal mencipta rekod di Tianmen Mountain Big Gate Road, China

Volkswagen ID.R merupakan sebuah jentera yang dikuasakan oleh tenaga elektrik sepenuhnya. Bagi membuktikan kemampuan jentera tersebut ke tahap maksimum buat kesekian kalinya, Volkswagen telah membuat keputusan untuk mencipta rekod baharu di sebuah laluan sukar yang mengagumkan dengan pemandangan alam yang indah, iaitu di Tianmen Mountain Big Gate Road yang terletak di negara China.

Jalan raya tersebut dikatakan mempunyai sebanyak 99 selekoh tajam yang menjadikannya bukan sahaja sukar malah berbahaya, dengan jarak dari permulaan di aras bawah menunju ke atas yang mencapai ketinggian sehingga 1,300 meter di atas paras laut, dengan jarak laluan sepanjang 11 kilometer. Pembinaan jalan raya tersebut mengambil masa selama 8 tahun dan siap sepenuhnya pada tahun 2006.

Jentera perlumbaan elektrik ID.R akan dikendalikan oleh Romain Dumas, pelumba profesional yang berasal dari Perancis. Beliau sebelum ini telah mencipta rekod dengan jentera tersebut di Pikes Peak, di Nürburgring-Nordschleife dan juga di Goodwood Festival of Speed. Kelajuan yang bakal dilakukan olehnya adalah antara 25 ke 230 km/j, dan pastinya tahap kecekapan beliau akan benar-benar teruji kali ini.

Menurut Volkswagen Motorsport, ini bukanlah kali pertama manusia dan jentera menguji cabaran di 99 selekoh di Tianmen Mountain Big Gate Road, sama ada menggunakan kereta sport atau pun jentera off-road. Bagaimana pun belum ada rekod masa yang dilakukan, memandangkan tiada tempat permulaan dan tamat yang ditetapkan secara rasmi sehingga kini. Bagaimanapun semuanya akan berubah apabila ID.R akan mencipta rekod secara rasmi tidak lama lagi.

Jentera Volkswagen ID.R akan menakhluk laluan Big Gate Road secara rasmi pada tarikh 02hb. September 2019. Sama-sama kita tunggu adakah Dumas dan ID.R akan berjaya menamatkan perlumbaan mencipta rekod masa di laluan yang mencabar dan berbahaya tersebut, pastinya sangat menarik untuk kita mengetahui keputusannya.

(Visited 12 times, 1 visits today)