Nissan JUKE terbaharu akan diperkenalkan secara rasmi bulan depan

Nissan JUKE mempunyai rekaan yang unik dan lain daripada yang lain. Ianya merupakan manifestasi berani dari Nissan, dan langkah tersebut tidaklah salah sepenuhnya. Menurut Nissan, JUKE telah mencatatkan jualan melebihi 1 juta unit sejak kemunculan pertamanya pada tahun 2010 yang lalu.

Bagi model terbaharu JUKE yang akan diperkenalkan secara rasmi pada bulan depan, ianya kini telah sampai ke tahap ujian jalan raya terakhir, memperlihatkan reka bentuk baharunya dan prestasi pemanduan yang lincah. Setakat ini Nissan telah menyiarkan beberapa keping gambar JUKE terbaharu yang masih dalam penyamaran.

Nissan JUKE terbaharu direka di Eropah, dan bakal tampil dengan ciri-ciri menarik seperti garis coupe yang ramping, rim aloi 19 inci dan jarak ketinggian atletik yang menetapkan standard baharu di dalam rekaan crossover kompak. Ianya juga direka bagi menepati segmen B-SUV seperti mana yang dimahukan oleh pelanggan seperti rekaan yang menarik, teknologi terkini dan prestasi ‘fun to drive’.

Antara lain, JUKE terbaharu akan menjadi model ketiga Nissan yang dilengkapi teknologi ProPILOT, yang mana ianya merupakan sebahagian daripada visi Nissan Intelligent Mobility. Saiz jejak JUKE terbaharu juga telah dipertingkatkan untuk memberikan kelebihan dari segi ruang dan keselesaan untuk pemandu dan penumpang, tanpa mengurangkan gaya pemanduannya yang tangkas.

(Visited 21 times, 1 visits today)