BMW 7 Siri terbaharu, di pasaran UK mulai 13 April 2019

Untuk pasaran UK, model terbaharu BMW 7 Siri bakal memulakan jualannya pada 13 April 2019, dengan harga permulaan dari £69,430. Sebagai tambahan kepada rekaan luaran dan dalamannya yang elegan, penambahbaikan, naik taraf teknologi dan keselesaan, BMW turut mengemaskini barisan enjin terbaharu untuk model tersebut.

BMW 7 Siri terbaharu kini ditawarkan dengan pilihan enjin lapan silinder terbaharu dan enjin enam silinder sebaris dengan sistem plug-in hybrid yang menawarkan jarak perjalanan yang lebih jauh menggunakan tenaga eletrik. Varian badan standard dan jarak roda panjang masih dikekalkan, dengan model terpanjang saloon mewah itu mempunyai jarak roda dengan tambahan sehingga 14 cm berbanding model standard.

BMW 7 Siri terbaharu boleh didapati dengan pilihan enjin petrol dan diesel yang menggunakan enam, lapan dan dua belas silinder, yang mana kesemuanya dilengkapi transmisi lapan kelajuan Steptronic sebagai ciri standard. Sistem pacuan semua roda pintarnya pula iaitu BMW xDrive dikatakan bukan saja boleh digandingkan dengan enjin petrol dan diesel, malah juga dengan sistem pemanduan hibrid.

Model teratas BMW 7 Siri terbaharu ini ialah BMW M760Li xDrive, memiliki enjin petrol 12 silinder dengan kapasiti 6.6 liter, seterusnya menghamburkan kuasa maksimum 585hp dengan tork puncak 850Nm. Kelajuan maksimumnya dihadkan kepada 155mph. Harga OTR untuk BMW M760Li xDrive ini bermula dari £138,935 di pasaran UK.

(Visited 47 times, 1 visits today)