Volvo Cars capai rekod jualan global baharu untuk 2018

Volvo Cars baru-baru ini telah mengumumkan bahawa syarikat automotif itu telah berjaya mencapai rekod jualan global baharu untuk tahun 2018. Malah lebih daripada itu, buat pertama kalinya juga Volvo Cars telah berjaya memecahkan rekod jualan melebihi 600,000 unit sejak syarikat tersebut bermula pada tahun 1927.

Bagi tahun 2018, angka jualan meningkat sebanyak 12.4 peratus kepada 642,253 unit, berbanding tempoh yang sama untuk tahun lepas iaitu sebanyak 571,577 unit. Ini merupakan tahun kelima berturut-turut Volvo Cars berjaya mencatatkan rekod global untuk jualan kenderaan keluarannya. Pada bulan Disember, jualan adalah sebanyak 60,157 unit, meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam tempoh dari Januari sehingga Disember, pasaran US menyaksikan pertumbuhan jualan sehingga 20.6 peratus kepada 98,263 unit kenderaan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017. Prestasi kukuh itu disumbangkan daripada barisan model SUV yang kian mendapat permintaan, didahului oleh model XC60. Dalam bulan Disember 2018, Volvo Cars menjual sebanyak 8,826 unit kenderaan di pasaran US.

Jualan di pasaran China juga merekodkan pertumbuhan sehingga 14.1 peratus kepada 130,593 unit pada 2018, berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas. Permintaan tinggi itu dipelopori oleh model pemasangan tempatan XC60 dan S90.  Untuk bulan Disember, jualan keseluruhan mencapai 11,868 unit, meningkat 17.9 peratus.

Pasaran Eropah turut menunjukkan prestasi kukuh pada tahun 2018, dengan jualan meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada 317,838 unit kenderaan berbanding rekod jualan pada tahun 2017. Angka jualan yang menggalakkan itu dipelopori oleh model baharu V60 dan XC40. Pada bulan Disember 2018, syarikat tersebut menjual sebanyak 29,469 unit kenderaan di rantau tersebut.

Pada tahun 2018, Volvo XC60 merupakan model terlaris dengan jualannya mencapai 189,459 unit, berbanding 184,966 unit pada tahun 2017. Ianya kemudian diikuti oleh model XC90 dengan jumlah jualan keseluruhan 94,182 unit, V40/V40 Cross Country sebanyak 77,587 unit, XC40 dengan angka 75,828 dan S90 sebanyak 57,142 unit.

(Visited 24 times, 1 visits today)