Perodua Axia 2019 versi facelift terbaharu bakal dilancarkan

Berita baik untuk peminat Perodua khususnya peminat model kompak Perodua Axia, model tersebut dikhabarkan bakal dilancarkan dalam versi facelift terbaharu tidak lama lagi. Setakat ini kelibat Perodua Axia 2019 versi facelift terbaharu itu telah dapat dikesan melalui paparan risalah yang bocor di internet seperti mana di atas.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada risalah tersebut, Perodua Axia 2019 versi facelift terbaharu bakal ditawarkan dalam enam varian kesemuanya, termasuk dua varian terbaharu. Kesemua varian tersebut ialah Varian E (Manual), Varian G (Automatik 4AT), Varian GXTRA (Automatik 4AT, varian baharu), Varian SE (Automatik 4AT), Varian AV (Automatik 4AT) dan Varian Style (Automatik 4AT, varian baharu).

Antara ciri-ciri baharu yang akan ditawarkan untuk Axia 2019 facelift terbaharu ini termasuklah Bantuan Pemanduan Selamat (A.S.A 2.0), yang mana ciri ini ditawarkan eksklusif untuk varian AV sahaja. Sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TRC) akan ditawarkan untuk varian GXTRA, SE, AV dan Style, manakala sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan Agihan Brek Elektronik (EBD) akan ditawarkan untuk kesemua varian kecuali Varian E.

Kamera undur eksklusif untuk Varian AV dan sensor pada bampar depan dan sensor undur akan melengkapi Varian GXTRA, SE, AV dan Style. Bagi varian baharu Style, ianya akan turut dipadankan bampar depan dan belakang rekaan baharu yang pastinya bersesuaian dengan nama yang diberi. Ciri-ciri lain adalah seperti rim keluli untuk Varian E bersaiz 14 inci, manakala varian G, GXTRA, SE dan AV akan dilengkapi rim aloi 14 inci, dan agak mengejutkan Varian Style akan dilengkapi rim aloi 15 inci.

Dari segi pilihan warna, Perodua Axia 2019 versi facelift terbaharu ini akan didatangkan dengan lima pilihan warna yang pastinya menarik seperti Sunrise Orange (warna baharu), Midnight Blue, Lava Red, Glittering Silver dan Ivory White. Menurut maklumat daripada risalah itu lagi, tempahan untuk model kompak berkenaan telah pun dibuka, namun setakat ini masih belum ada maklumat rasmi daripada pihak Perodua sendiri.

Apa pun kita tunggu pengumuman rasmi daripada pihak Perodua, mungkin dalam masa terdekat ini. Berkenaan harga yang bakal ditawarkan, tidak dapat dipastikan sama ada Axia 2019 versi facelift dan naik taraf terbaharu ini akan menawarkan harga yang lebih kompetetif, sekurang-kurangnya boleh memberikan saingan kepada model Proton Saga 2019 versi facelift terbaharu yang baru saja dilancarkan baru-baru ini.

Sumber : Funtasticko.net

(Visited 664 times, 1 visits today)