Perodua Axia 2019 terbaharu kini dibuka tempahan

Perodua hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk model Axia 2019 terbaharu telah pun dibuka. Model kompak tersebut kini didatangkan dalam pilihan enam varian kesemuanya seperti berikut, termasuk dua varian baharu iaitu Axia GXtra dan Style :

  • Perodua Axia Varian E (5 MT)
  • Perodua Axia Varian G (4 E-AT)
  • Perodua Axia Varian GXtra (4 E-AT) (varian baharu)
  • Perodua Axia Varian Style (4-EAT) (varian baharu)
  • Perodua Axia Varian SE (4 E-AT)
  • Perodua Axia Varian AV (4 E-AT)

Antara ciri baharu yang diperkenalkan untuk model berkenaan ialah sistem keselamatan Advanced Safety Assist (A.S.A), namun ianya eksklusif untuk varian AV sahaja. VSC dan EBD seterusnya melengkapi varian GXtra, SE, AV dan Style, manakala ABS dengan EBD ditawarkan untuk kesemua varian kecuali varian E.

Dari segi pilihan warna, Perodua Axia 2019 tersedia dalam pilihan lima warna yang menarik termasuk warna baharu Sunrise Orange Metallic yang pastinya lebih menyerlah dan sporty, di samping pilihan warna sedia ada iaitu Lava Red Metallic, Midnight Blue Metallic, Glittering Silver Metallic dan Ivory White Solid.

Berkenaan varian baharu Style, model tersebut hadir dengan penampilan sebuah crossover, di mana ianya dilengkapi rim roda berukuran 15 inci dan rekaan bampar depan dan belakang baharu, termasuk jeriji depan baharu Style Type. Bersesuaian dengan imej sebuah crossover, Axia Style dijangka akan mempunyai jarak kelegaan bumi yang lebih tinggi, sesuai untuk pelanggan yang meminati rekaan seperti itu.

Dari segi spesifikasi enjin, setakat ini ianya kekal tidak berubah. Enjin 1.0 liter VVT-i yang melengkapi Axia kekal menawarkan tahap penjimatan petrol sehingga 22.5 kilometer per liter. Berikut ialah senarai harga yang ditawarkan untuk kesemua varian (harga jangkaan OTR tidak termasuk insuran untuk Semenanjung Malaysia) :

  • Perodua Axia Varian E : RM24,090
  • Perodua Axia Varian G : RM33,490
  • Perodua Axia Varian GXtra : RM34,990
  • Perodua Axia Varian Style : RM38,890
  • Perodua Axia Varian SE : RM38,890
  • Perodua Axia Varian AV : RM43,190

Perodua Axia 2019 didatangkan dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu). Menurut Perodua, Axia 2019 yang menerima kemaskini terbaharu ini akan tiba di bilik pameran tidak lama lagi, namun tarikh sebenar belum diumumkan.

(Visited 217 times, 1 visits today)