Perodua catat rekod jualan baharu bagi tahun 2018

Perodua hari ini dengan rasminya mengumumkan jumlah jualan kenderaannya bagi tahun 2018. Menurut Perodua, sebanyak 227,243 unit kenderaan berjaya dijual dalam tempoh sepanjang tahun lepas, menjadikannya sebagai rekod jualan tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sejarah syarikat tersebut.

Untuk tahun 2019, Perodua mensasarkan peningkatan jualan 4% kepada 231,000 unit,  berdasarkan jangkaan sokongan daripada model Myvi dan SUV Aruz yang dilancarkan baru-baru ini. Myvi setakat ini merupakan model terlaris Perodua pada tahun 2018, dengan pendaftaran sebanyak 82,122 unit daripada 117,844 tempahan. Sejak pelancarannya dalam bulan November 2017 sehingga kini, lebih 91,500 unit Myvi telah didaftarkan daripada 147,000 tempahan.

Axia, Bezza dan Alza kekal nombor satu dalam segmen masing-masing dengan 70,821, 49,911 dan 24,389 unit berjaya dijual pada tahun 2018.

“Sasaran Perodua untuk meningkatkan jualannya sebanyak 4% tahun ini bukan sahaja akan mengukuhkan jenama kami tetapi akan membantu industri automotif Malaysia yang dijangka akan berkembang sedikit tahun ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad kepada pihak media hari ini di majlis makan tengahari Tahun Baru Cina syarikat itu.

“Bagi Perodua, model Myvi dijangka terus popular pada tahun ini, dan sejak kami memulakan tempahan untuk Aruz pada 03hb. Januari yang lalu, kami telah menerima hampir 5,700 tempahan setakat ini. Memandangkan sasaran jualan kami sebanyak 2,500 unit sebulan, angka ini sangat menggalakkan,” kata Dato’ Zainal.

Perodua juga meletakkan jangkaan untuk meningkatkan pembelian komponennya sebanyak 20% daripada RM5 bilion tahun lepas kepada RM6 bilion tahun ini. Ianya adalah selaras dengan permintaan yang dijangkakan pada tahun 2019 dan secara langsung akan memberi manfaat kepada pembekal automotif tempatan.

Menurut Dato’ Zainal, sebanyak 219,000 unit kenderaan telah dikeluarkan daripada kedua-dua kilang Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd pada tahun 2018, dan syarikat tersebut mensasarkan peningkatan sebanyak 10.5% kepada 242,000 kenderaan pada tahun 2019.

Dari sudut selepas jualan, Perodua memecahkan banyak rekod dalaman dari segi pengambilan servis (2018 2.17 juta pengambilan berbanding 2017 2.1 juta pengambilan – naik 3%) dan jualan alat ganti dan aksesori (2018 RM320.8 juta berbanding 2017 RM288.5 juta – naik 11%). Perniagaan Badan & Cat (B&P) dan Kenderaan Pra-Milik (POV) juga menyaksikan perkembangan yang menggalakkan.

“Selepas jualan adalah aspek yang sangat penting kepada kami kerana ia menyokong kami dalam pasaran yang berdaya saing ini. Kami akan menaiktaraf tahap kepuasan pelanggan kami demi untuk mengukuhkan lagi jenama kami di negara ini.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu anda selama ini dan kami akan terus berusaha keras untuk memenuhi keperluan dan kehendak anda,” kata Dato’ Zainal.

(Visited 47 times, 1 visits today)