Honda Civic Si Coupe dan Si Sedan 2020 dilancarkan dengan kemaskini gaya dan prestasi baharu

Untuk pasaran USA, Honda baru saja melancarkan Civic Si Coupe dan Civic Si Sedan model tahun 2020, yang kini tampil dengan kemaskini gaya dan prestasi baharu. Kedua-dua model tersebut kini mempunyai gaya dan penampilan yang lebih segar dan agresif, nisbah pemacu akhir (final-drive) yang lebih pendek untuk pecutan yang lebih responsif, dan rangkaian sistem keselamatan Honda Sensing sebagai ciri standard.

Kesemua model Civic Si 2020 kini dilengkapi rim roda 18 inci berwarna hitam matte yang dipasangkan tayar prestasi untuk semua musim, dengan tayar musim panas juga tersedia sebagai pilihan yang ditawarkan terus dari kilang. Di bahagian dalam, kedua-dua model Civic Si Coupe dan Sedan menerima tempat duduk sport yang dikemaskini semula, termasuklah sentuhan berwarna merah (red trim) di bahagian panel instrumen.

Honda Civic Si Coupe dan Sedan 2020 dikuasakan enjin 1.5 liter turbo (1.5L DOHC direct-injected turbocharged 4-cylinder) yang digandingkan dengan sistem transmisi manual 6-kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 205 hp @ 5,700rpm dengan tork puncak 192 lb.-ft. @ 2,100-5,000rpm. Bakal tiba di bilik pameran mulai 6 September, harga yang ditawarkan untuk kedua-dua model bermula dari $25,000.

(Visited 53 times, 1 visits today)