Toyota Vios 2019 serba baharu generasi ketiga dilancarkan

Toyota Vios merupakan sebuah sedan segmen B yang menempa populariti semenjak generasi pertamanya diperkenalkan di pasaran tempatan. Kemudiannya generasi kedua Vios mengambil tempat dan menjadi antara model kenderaan paling popular ketika itu. Hari ini tibalah masanya pelancaran Toyota Vios 2019 generasi ketiga. 

Toyota Vios 2019 serba baharu ditawarkan dalam pilihan tiga varian iaitu 1.5J, 1.5E dan 1.5G, masing-masing dikuasakan enjin 1.5 liter (107PS & 140Nm) yang kesemuanya dipadankan transmisi CVT 7-kelajuan. Untuk generasi ketiga ini, Vios tidak lagi menawarkan varian dengan transmisi manual seperti model dalam generasi terdahulu.

Menyentuh mengenai rekaan luaran Vios 2019 yang ternyata sangat berbeza berbanding Vios sebelumnya, ramai peminat dan pemerhati yang memberikan pujian. Namun terdapat juga pandangan yang mengatakan bahagian depannya agak padat untuk sesebuah model di dalam segmennya yang sepatutnya lebih ringkas.

Dari segi keselamatan, Vios serba baharu ini telah menerima pengiktirafan 5-Bintang ASEAN NCAP, dan ianya turut dilengkapi sistem Blind Spot Monitor (BSM) with Rear Cross Traffic Alert* , Panoramic View Monitor (PVM)*, Front Digital Video Recorder (DVR)* (varian 1.5G dan 1.5E sahaja*), 7 beg udara SRS dan Hill-start Assist Control (HAC). Sistem penyambungan yang tersedia berupa DVD-AVX with USB-mirroring* (varian 1.5G dan 1.5E sahaja*) dan juga USB Charging Ports.

Ciri-ciri lain yang memberikan lebih nilai dan kemudahan termasuklah Headlamps with Follow-me-home Function, Auto Air-conditioning, Optitron Meter with Multi-information Display (MID), Drive Mode Switch & Paddle Shifters dan Electrochromic Rear-view Mirror* (varian 1.5G sahaja*). Pilihan warna luaran pula adalah seperti Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II.

Toyota Vios 2019 serba baharu boleh dimiliki pada harga sebanyak RM77,200.00 untuk varian 1.5J, RM81,200.00 untuk varian 1.5E dan RM87,300.00 untuk varian 1.5G. Kesemua harga yang disebutkan itu adalah On The Road tanpa insuran untuk Semenanjung Malaysia. Untuk ketenangan fikiran, tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 5 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had (terma dan syarat).

(Visited 95 times, 1 visits today)