UMW Toyota Motor umum kemaskini baharu untuk CH-R

UMW Toyota Motor Sdn Bhd baru-baru ini mengumumkan model CH-R telah menerima kemaskini kosmetik baharu untuk tahun 2019, termasuklah pengenalan Aerokit eksklusif daripada TRD yang tersedia sebagai pilihan. Setakat ini model crossover kompak tersebut telah terjual melebihi 4,000 unit dalam tahun 2018 dan dijangkakan jumlahnya akan terus meningkat melalui kemaskini terbaharu ini.

Untuk tahun 2019, antara kemaskini baharu untuk Toyota CH-R termasuklah rekaan baharu untuk roda aloi ringan 17 inci. Rekaan dual-tone yang lebih berani telah dipilih agar menyamai penampilan kenderaan yang menarik semakin ramai peminat. Selain itu, garnish strips baharu di bahagian bampar depan dan belakang dan tambahan body mouldings di sepanjang bahagian sisi kini menyerlahkan lagi identiti CH-R.

Selain daripada pilihan Aerokit TRD untuk penampilan yang lebih sporty, pelanggan juga boleh memilih pilihan warna baharu Radiant Green Metallic, di samping 5 warna sedia ada seperti Metal Stream Metallic, White Pearl, Blue Metallic, Attitude Black dan Red Mica. Untuk gaya yang tersendiri, warna Blue Metallic, Radiant Green Metallic dan Red Mica turut didatangkan dengan bumbung berwarna hitam.

Di bahagian dalam kabin, sistem infotainment telah dinaik taraf dengan kehadiran paparan touchscreen baharu berukuran 6.75 inci bersama-sama sistem Apple Carplay dan Android Auto Connectivity. Ini bermakna kebanyakan aplikasi dalam telefon pintar yang serasi juga boleh diakses dari paparan skrin tersebut yang mempunyai antara muka yang mudah dan lebih intuitif. Sistem pengenalan suara juga memudahkan operasi tertentu, membolehkan pemandu mengekalkan tangannya pada stereng.

Toyota CH-R dikuasakan enjin petrol berkapasiti 1.8 liter yang mengeluarkan kuasa maksimum 140PS dengan tork puncak 171Nm. Transmisi automatik 7-kelajuan Super ECT-7 dengan Shiftmatic memberikan keseimbangan maksimum antara prestasi dan kecekapan penggunaan bahan api. Pemandu juga boleh memilih daripada tiga mod pemanduan yang disediakan seperti ECO, NORMAL dan SPORT.

Ciri-ciri keselamatan yang melengkapi CH-R termasuklah Vehicle Stability Control (VSC) and Traction Control (TRC), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Blind Spot Monitoring System, Hill-start Assist Control (HAC) dan Tyre Pressure Monitoring System. Menurut UMW Toyota Motor Sdn Bhd, tempahan untuk Toyota CH-R 2019 telah bermula dari 16 Januari yang lalu. Harganya kekal tidak berubah kepada RM150,000.00, dengan penghantaran dijadualkan bermula dalam bulan Februari.

(Visited 41 times, 1 visits today)